SlideShow

0

ABPBH 2010 !

Shaheizy Sam JUARAI ABPBH !
Raih 126,168 undi ungguli anugerah tertinggi ABPBH 2010 atasi empat calon lain

GENTING HIGHLANDS: Pelakon utama filem Adnan Sempit dan Ngangkung, Shaheizy Sam mencipta sejarah apabila muncul pelakon lelaki ketiga dipilih untuk gelaran Bintang Paling Popular apabila mengungguli hadiah tertinggi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, di sini malam tadi.
Shaheizy, 29, meraih 126,168 undi memenangi gelaran itu selepas mengetepikan saingan empat artis lain yang mendapat undi tertinggi, iaitu Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Beliau turut memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000 hadiah iringan dan trofi.

Shaheizy juga memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.

Trofi Bintang Paling Popular 2009 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang pada majlis kemuncak ABPBH 2010 di Arena of Stars, di sini bertemakan Moden & Klasik dengan disaksi lebih 5,000 penonton.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid. Majlis gilang-gemilang lebih dua jam setengah itu disiarkan secara langsung menerusi TV3, stesen radio Hot FM dan laman web rasmi, NSTP e-media.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada seniwati veteran, Datuk Rosnani Jamil, 75, sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam bidang perfileman tanah air selama hampir 60 tahun.

Lisa Surihani mencipta kemenangan dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, sementara Faizal Tahir menepati ramalan apabila menggondol gelaran Penyanyi Lelaki Popular.

Yuna mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. Kategori berkenaan sebelumnya disandang 13 kali oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular dimenangi kumpulan Sixth Sense, manakala Rabbani terus mempertahankan gelaran Penyanyi Nasyid Popular buat kali kesembilan. Pelakon TV Lelaki Popular dan Pelakon TV Wanita Popular, masing-masing dimenangi Remy Ishak dan Fasha Sandha.

Juara program realiti Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir, memenangi Artis Baru Lelaki Popular, manakala, Ana Raffali meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular. Pelakon drama, Norkhiriah pula buat kali ketiga mengekalkan gelaran Artis Komedi Wanita Popular, manakala Zizan memenangi Artis Komedi Lelaki Popular.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing dimenangi Faizal Ismail dan Fara Fauzana, dari stesen Hot FM. Fara juga berjaya mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular. Aznil Nawawi berjaya mengekalkan gelaran Pengacara TV Lelaki Popular buat kali kesembilan.

ABPBH 2010 ialah edisi ke-24 anjuran Berita Harian adalah acara pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti tanah air dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran. Edisi kali ini ditaja Celcom Axiata Bhd sebagai penaja utama.

LAGI gambar-gambar menarik sekitar Majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, terdapat dalam akhbar Berita Harian hari ini

Keputusan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010

:)Bintang Paling Popular – Shaheizy Sam
:)Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat – Datuk Rosnani Jamil
:)Penyanyi Lelaki Popular – Faizal Tahir
:)Penyanyi Wanita Popular – Yuna
:)Pelakon Filem Lelaki Popular – Shaheizy Sam
:)Pelakon Filem Wanita Popular – Lisa Surihani
:)Pelakon TV Lelaki Popular – Remy Ishak
:)Pelakon TV Wanita Popular – Fasha Sandha
:)Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular – Sixth Sense
:)Artis Nasyid Popular – Rabbani
:)Artis Komedi Lelaki Popular – Zizan
:)Artis Komedi Wanita Popular – Norkhiriah
:)Artis Baru Lelaki Popular – Shahir
:)Artis Baru Wanita Popular – Ana Raffali
:)Pengacara TV Lelaki Popular – Aznil Nawawi
:)Pengacara TV Wanita Popular – Fara Fauzana
:)Penyampai Radio Lelaki Popular – Faizal Ismail
:)Penyampai Radio Wanita Popular – Fara Fauzana

0 Pancaroba Dunia: